MIRI: Sarawak mempunyai masa depan yang cerah kerana mempunyai kepelbagaian sumber untuk meningkatkan ekonomi yang memanfaatkan negeri dan rakyatnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, negeri ini berpeluang mencapai status maju seperti negara Singapura dan Korea Selatan yang tidak mempunyai sumber sendiri.

“Bahkan Korea juga tidak mempunyai sumber minyak dan gas, namun boleh menjadi pengeluar bahan kimia industri utama dunia, kenapa tidak Sarawak yang mempunyai banyak sumber minyak dan gas?

“Disebabkan itu, kita mengambil langkah dengan menambah nilai sumber yang ada. Bukannya mengeksport bahan mentah semata-mata, tetapi memanfaatkan produk hiliran untuk menghasilkan produk daripada minyak dan gas seperti metanol, ammonia dan hidrogen,” katanya.

RAKAM KENANGAN… Dr Sim (tengah), Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lim Khee Shin (empat kanan) merakam kenangan bersama Ketua-Ketua Agama Lain.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Profesor Dr Sim Kui Hian pada Majlis Kesyukuran Anjuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Miri, hari ini.

Dalam pada itu, katanya Sarawak perlu membangunkan bakat dalam kalangan rakyatnya supaya mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengendalikan industri baharu menggunakan data dan teknologi masa kini.

Sekitar 350 tetamu hadir ke majlis doa kesyukuran itu yang bertujuan mengumpulkan institusi agama-agama lain untuk bersama mendoakan kesejahteraan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ia melibatkan bacaan doa oleh pemimpin-pemimpin agama Baha’i, Hindu, Kristian, Tao, Buddha dan juga Sikh.

Suara Sarawak