Fadillah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang.

KUCHING: Keputusan terletak sepenuhnya kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam menentukan kerjasama antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan mana-mana pakatan politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS diberi mandat penuh untuk menentukan keputusan tersebut.

“Setakat ini, kalau ikut pemahaman saya, kita bergerak solo.

“Siapa kita hendak bekerjasama, itu kita beri mandat sepenuhnya kepada Premier Sarawak,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang, di sini, hari ini.

Pada Selasa lalu, Abang Johari tidak menafikan terdapat pelawaan dari pakatan politik Semenanjung Malaysia untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, ia perkara biasa apabila GPS mempunyai rekod cemerlang serta berupaya menjadi penentu pembentukan kerajaan.

Beliau menyifatkan GPS seolah-olah seorang wanita cantik yang sedang dipujuk lelaki kerana mampu menarik perhatian parti politik lain.

Fadillah, Fazzrudin dan Tan Kai bergambar bersama-sama para peserta program larian amal M7 Puzzle Run 1/4 di SJK Chung Hua Batu 7 Jalan Matang.

Suara Sarawak