Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah melupakan isi rumah kumpulan pertengahan sebaliknya sentiasa berusaha untuk menambah pendapatan boleh guna yang dapat dimanfaatkan golongan M40.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan khabar gembira buat satu juta pembayar cukai iaitu kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 hingga RM100,000.

“Pertama: Banjaran pendapatan bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000 kadarnya diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus.

“Kedua: Banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000, kadarnya diturunkan daripada 21 peratus kepada 19 peratus,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata banjaran pendapatan bercukai lebih RM250,000 hingga RM400,000 akan digabungkan dengan banjaran lebih RM400,000 hingga RM600,000 dan dikenakan kadar cukai 25 peratus.

“Dengan layanan khas cukai pendapatan ini, penjimatan cukai kumpulan pertengahan adalah sehingga RM1,000 dan untuk kumpulan teratas adalah sehingga RM250. Ini bermakna dianggarkan RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan yang dibelanjakan rakyat,” katanya.

Menteri Kewangan itu ketika membentangkan belanjawan turut memaklumkan inisiatif e-Pemula M40 akan dilaksanakan iaitu tawaran kredit e-dompet sebanyak RM100 kepada kumpulan M40 berpendapatan tahunan di bawah RM100,000 bagi membudayakan pembayaran tanpa tunai.

“Dianggarkan seramai lapan juta individu layak menuntut kredit ini dengan peruntukan disediakan RM800 juta,” tambahnya.

Suara Sarawak