Chong (tengah) bersama ahli DAP yang lain pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak, hari ini.

KUCHING: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menyifatkan kerjasama antara Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) hanya akan memusnahkan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya kerjasama ketiga-tiga parti tempatan itu tanpa melibatkan parti pembangkang lain seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khasnya akan mengakibatkan undi pembangkang pecah.

“Jadi diharapkan pengundi dan rakyat Sarawak akan melihat warna sebenar, kepura-puraan atau penyamaran mereka yang dipanggil parti pembangkang tempatan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sarawak, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kerjasama yang dimeterai antara PSB, PBDS dan PBK dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menghadapi PRU-15 akan datang.

Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh berkata perjanjian bersejarah itu bermakna tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara tiga parti pembangkang yang berpangkalan di Sarawak itu pada pilihan raya akan datang.

Selain itu, Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak berkata PSB, PBDS dan PBK hanya aktif apabila menjelang pilihan raya sahaja dan akan hilang semasa bukan waktu pilihan raya.

“Mereka mempunyai satu ciri iaitu aktif semasa hendak pilihan raya….kini PRU semakin hampir dan parti-parti ini datang lagi, tiba-tiba diaktifkan semula,” katanya.

Suara Sarawak