KUCHING: Jumlah kes baharu Covid-19 dilaporkan terus menunjukkan penurunan pada minggu ke-41 berbanding minggu sebelumnya, dengan sifar kematian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak memaklumkan, pada minggu ke-40 sebanyak 442 kes baharu Covid-19 dilaporkan, dengan 429 dalam kategori klinikal satu dan dua.

Ia menurun kepada 424 kes pada minggu berikutnya (ke-41) dengan jumlah penurunan 18 kes.

418 kes pada minggu tersebut adalah kategori klinikal satu dan dua, menjadikan jumlah kumulatif bagi dua minggu tersebut masing-masing 316,120 dan 316,544.

Untuk pecahan kes mengikut daerah pada minggu ke-40, Kuching masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 160 kes, diikuti Miri (72 kes), Sibu (67 kes) dan Bintulu dengan 31 kes.

10 daerah iaitu Asajaya, Pakan, Kanowit, Pusa, Subis, Kabong, Beluru, Belaga, Telang Usan dan Bukit Mabong tiada kes baharu dilaporkan.

Manakala pada minggu ke-41, empat daerah tersebut kekal menyumbang bilangan kes baharu tertinggi dengan Kuching (172 kes), Sibu (67 kes), Miri (50 kes) dan Bintulu (26 kes).

Tiada kes baharu dilaporkan 11 daerah iaitu Matu, Limbang, Sebauh, Song, Daro, Tebedu, Asajaya, Pusa, Beluru, Telang Usan dan Bukit Mabong.

 

Suara Sarawak