Kes mingguan Covid-19 menurun

KUCHING: Sarawak menyaksikan jumlah kes baharu Covid-19 pada minggu ke-39 Epidemiologi menurun kepada 516 kes berbanding minggu ke-38 iaitu sebanyak 658 kes.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini, daripada jumlah pada minggu ke-39, sebanyak 499 kes dalam kategori 1 dan 2, manakala 17 dalam kategori 3,4 dan 5.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes dilaporkan di Sarawak pada minggu ke-39 meningkat kepada 315,678 kes,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Kuching mencatatkan 186 kes daripada jumlah kes baharu diikuti Sibu (76), Miri (75), Sarikei (24),Bintulu (22),Mukah (16) Samarahan (15), Serian (14), Dalat (12) dan Bau (10) pada minggu ke-39.

Sri Aman dan Betong pula masing-masing mencatatkan tujuh kes, diikuti Daro dan Simunjan (enam), Saratok dan Meradong (lima), Lundu dan Lawas (empat), Tatau (tiga), Lubok Antu, Julau, Asajaya, Marudi,Tebedu dan Sebauh (dua) manakala Pakan, Kanowit Limbang,Matu, Song, Kapit dan Pusa, masing-masing satu kes.

“Subis, Tanjung Manis, Kabong, Beluru,Belaga, Telang Usan, Selangau dan Bukit Mabong tidak mencatatkan sebarang kes mingguan Covid-19,” kata kenyataan JPBNS.

Dalam pada itu kata kenyataan itu, Sibu turut merekodkan satu kes kematian masing-masing pada minggu ke-38 dan ke-39.

 

Suara Sarawak