Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng memalu gong sebagai tanda perasmian Persidangan Transfusi Perubatan Kebangsaan dan Hari Akademi Persatuan Transfusi Darah ke-10, di sini hari ini. Turut disaksikan Presiden Persatuan Transfusi Darah Malaysia (MBTS) Datuk Dr Faraizah Abdul Karim (tiga kiri) dan hadirin yang lain Foto Ramidi Subari

KUCHING: Kesejahteraan rakyat merupakan agenda utama Kerajaan Sarawak, terutamanya ketika pandemik dan fasa pemulihan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, di bawah perkhidmatan sosial, Sarawak menyasarkan untuk menyediakan taraf hidup yang tinggi, masyarakat yang sihat dan inklusif dengan menyampaikan perkhidmatan yang berpatutan dan inovatif untuk rakyat.

“Antara inisiatif utama adalah program pembasmian kemiskinan, program kebajikan masyarakat seperti insuran Sarawakcare negeri, pembinaan makmal ujian dan penyelidikan negeri, pusat pakar perubatan Normah baharu, perkhidmatan kebajikan keperluan khas dan skim perumahan.

“Memandangkan Sarawak berhasrat untuk menjadi negeri maju menjelang 2030, kita perlu memberi sokongan kepada sistem penjagaan kesihatan dan ini termasuk bekalan darah yang mampan dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan kesihatan pesakit yang memerlukan transfusi darah,” katanya berucap pada perasmian Persidangan Transfusi Perubatan Kebangsaan ke-10 dan Hari Akademi Persatuan Transfusi Darah, di sini, hari ini.

Teks beliau dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng.

Berhubung peluang dalam inovasi, Abang Johari berkata, kajian dan pembangunan terutamanya dalam teknologi digital boleh meletakkan Sarawak sebagai tempat ujian dan makmal untuk saintis membangunkan teknologi dalam pelbagai aplikasi.

Katanya, mewujudkan masyarakat inovatif tidak akan berlaku sekelip mata namun Kerajaan Sarawak sedang meletakkan ekosistem dan dasar utama yang akan menggalakkan dan mempromosi inovasi.

“Inovasi diperlukan untuk ekonomi bertindak balas terhadap pandemik Covid-19. Teknologi ujian berubah dengan cepat- contohnya, vaksin sedang dibangunkan pada kadar yang cepat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Inilah cara pandemik boleh mencipta peluang walaupun implikasi negatifnya,” ujarnya.

Dengan sumber biodiversiti Sarawak yang luas, beliau turut menekankan keperluan flora dan fauna untuk dijaga dan melindungi alam sekitar bagi memastikan sumber itu digunakan secara mampan untuk penyelidikan serta membangunkan inovasi baharu yang akan meletakkan Sarawak di peta dunia.

Turut hadir, Presiden Persatuan Transfusi Darah Malaysia merangkap pengerusi persidangan Datuk Dr Faraizah Abdul Karim, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Azlee Ayub, Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Ngien Hie Ung, Ketua Perkhidmatan Transfusi Kebangsaan Dr Afifah Hassan dan Ketua Jabatan Perkhidmatn Transfusi HUS Dr Mohammad Masrin Zahrin.

Suara Sarawak