Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan cadangan meletakkan wakil dari Sarawak untuk menganggotai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Beliau mengalu-alukan keputusan Kementerian Kewangan kerana memberi maklum balas positif terhadap permintaan Sarawak berhubung perkara itu.

“Orang yang kita lantik iaitu Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) untuk mewakili negeri di LHDN merupakan individu yang profesional.

“Apabila ada wakil (dari Sarawak) dalam LHDN, sekurang-kurangnya kita tahu fakta dan angka hasil negara dan berapa banyak sumbangan negeri ini.

“Dari situ juga, kita boleh keluarkan formula yang munasabah berhubung pengagihan geran kepada negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Kompleks Hikmah dan Sekolah Tahfiz Hikmah di tapak berhampiran Jalan Pustaka, Petra Jaya, di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu berkata, dengan adanya SFS dalam Lembaga Pengarah LHDN, ia akan membolehkan negeri mengetahui jumlah geran yang sepatutnya diterima.

“Jika ekonomi negara tidak baik, kita tidak boleh mengharapkan pemberian geran yang tinggi oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jika negara dalam kesusahan, sama-sama kita lalui kesusahan, dan apabila senang, kita laluinya bersama-sama.

“Tetapi, yang berlaku sekarang ialah, apabila dalam kesenangan, kita dilupakan. Kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Justeru katanya, apabila adanya pertumbuhan ekonomi yang baik di negara ini, maka peratusan tertentu kutipan hasil daripada Sarawak dapat diagihkan secara adil kepada negeri ini.

“Ia tidak boleh berdasarkan angka. Jika ia berdasarkan nombor, bagaimana untuk membahagikannya? Sebab itu saya berpegang pada prinsip formula.

“Apabila ekonomi negara berjalan baik, kita jangkakan lebih banyak (geran). Apabila dalam kesukaran, kita tidak mengharapkan lebih,” katanya.

Terdahulu, Kabinet bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) Akta 1995 (Akta 533) yang melibatkan wakil dari Sarawak dan Sabah untuk menduduki Lembaga Pengarah LHDN.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, cadangan pindaan akta itu dipersetujui oleh Kabinet pada 30 September lalu dan akan dibentangkan di Parlimen.

Suara Sarawak