TERIMA KASIH…Penyandang Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin (tengah) menyantuni salah seorang ahli keluarga yang menerima sumbangan berupa barang perkakas kediaman

KUCHING: Sebanyak tiga buah keluarga kawasan Parlimen puncak Borneo menerima inisiatif sumbangan berupa peralatan perkakas kediaman dan pendidikan anak-anak berjumlah kira-kira RM10,000 secara keseluruhan.

Projek khidmat komuniti hasil kolaborasi Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) bersama-sama Pusat Khidmat Rakyat P198 Puncak Borneo bagi menyantuni penduduk yang dikenal pasti tidak berkemampuan.

Penyandang Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin menegaskan, usaha tersebut merupakan aktiviti kesinambungan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah dilaksanakan persatuan sebelum ini.

Dedahnya, langkah ini antara permulaan CSR dalam membantu masyarakat, di samping mengetengahkan bidang pekerjaan industri perabot kepada golongan belia khususnya di kawasan Puncak Borneo.

“Khidmat komuniti ini telah kita laksanakan sejak pandemik Covid-19, manakala inisiatif tahunan seumpama ini adalah pertama kali kita laksanakan.

“Ini adalah untuk membantu masyarakat bukan sahaja merangkumi jangka masa pendek namun melibatkan usaha jangka masa panjang,” katanya ketika mengetuai rombongan penyerahan khidmat komuniti tersebut di Kilang Yun Ming Wood Industries Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sementara, beberapa peralatan disumbangkan menerusi projek khidmat komuniti itu termasuk tilam, kerusi, meja belajar, katil dan lain-lain.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mendedahkan telah berbincang dengan pihak SFIA membuka ruang dalam bidang pekerjaan ke arah industri perabot bagi memenuhi kehendak industri, selain mengasah kemahiran masyarakat setempat di kawasan tersebut.

Suara Sarawak