DARO: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijangka meletakkan sekurang-kurangnya 12 muka baharu di kerusi parlimen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Di peringkat komponen parti, kita akan mempunyai muka baharu kerana kita telah kehilangan kira-kira 12 kerusi, dan 12 kerusi parlimen ini mungkin akan kita tampilkan calon muka baharu,” kata Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Pembinaan Rumah Spektra Permata Kampung Badong dan Kompleks Sukan Daro di sini, hari ini.

BERCAKAP… Abang Johari menjawab soalan daripada pemberita. Turut kelihatan, Datuk Julaihi Narawi.

Sementara itu, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada mereka yang menawarkan diri untuk berundur dan digantikan dengan muka baharu, bagaimanapun enggan mendedahkan calon-calon tersebut.

“Kerusi itu untuk siapa, kita tunggu sahaja pengumumannya nanti,” katanya ringkas.

Beliau juga berkata semua calon GPS yang bertanding pada PRU-15 akan diperiksa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

“Jika mereka bersih, mereka akan menjadi calon tetapi jika mereka tidak bersih, mereka tidak akan menjadi calon,” katanya.

Suara Sarawak