KUCHING: Kemudahan dan keperluan di Klinik Kesihatan Komuniti Taman Malihah akan dinaik taraf bagi menampung keperluan pesakit yang semakin ramai.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, purata dilaporkan 80 pesakit biasa serta 80 ibu dan anak datang ke klinik tersebut setiap hari untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan.

“Dahulu ia adalah Klinik 1Malaysia dan telah dinaik taraf menjadi Klinik Kesihatan Komuniti, tetapi malangnya kemudahan yang ada tidak dinaik taraf dan masih berada dalam kategori sebelumnya.

Fadillah melawat Klinik Kesihatan Komuniti Taman Malihah, di Kuching, hari ini. – Foto: Facebook Fadillah Yusof

“Justeru dengan jumlah pesakit yang semakin ramai kemudahan kesihatan sedia ada tidak mampu untuk menampung.

“Oleh itu, kakitangan dan pegawai di sini mengharapkan agar kerjaan menaik taraf semua kemudahan di sini khususnya bangunan sedia ada,” katanya selepas lawatan kerja di Klinik Kesihatan Komuniti Taman Malihah di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu beliau dan Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman akan akan membantu dan melihat langkah seterusnya yang diperlukan untuk memenuhi keperluan tersebut.

“Kita akan melihat sama ada menaik taraf bangunan atau dipindahkan ke lokasi lain supaya ia menjadi betul-betul sebuah klinik yang mempunyai keseluruhan kemudahan, malah pegawai di sini juga telah mengemukakan senarai keperluan mereka.

“Ini penting supaya klinik tersebut dapat memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan selesa untuk penduduk setempat,” jelasnya.

Sementara itu, terdahulu Fadillah menyaksikan penyerahan siap kerja projek menurap jalan dan pembentung baharu dari Taman Serapi Jaya ke Jalan Belatok, Malihah daripada kontraktor kepada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang menelan kos RM450,000.

Suara Sarawak