RAKAM KENANGAN… Sirley (duduk tengah) bergambar dengan para peserta dan pensyarah pengiring, Chong (duduk kanan).

KUCHING: Tiga pelajar Program Sijil Teknologi Maklumat (STM), Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) menerima Anugerah Pingat Emas sekali gus dinobatkan juara kategori ‘Creative IoT Project’ (CIP) baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka berjaya mengharumkan nama Sarawak pada Pertandingan Inno-Tech Kolej Komuniti (KK) 2022 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 27 hingga 29 September lalu di Gopeng, Perak.

Menurut kenyataan KKMG, peserta terdiri daripada Xaviearny Bina Linus, Muhammad Zakariyya Rajesh dan Yong Che Khent dengan projek bertajuk ‘Eden Greenfeel Technology’ berjaya merangkul pembentangan terbaik keseluruhan

Sementara itu, tiga pelajar lain, Ann Audrey Valentine, Arfitrizan Amir dan Beneface Majang Soya yang membentangkan hasil mereka dalam kategori Cabaran Inovasi Kes Komputer (CCIC) bertajuk ‘War Tech Sarawak Warrior’ turut menerima Anugerah Pingat Emas.

Ketiga-tiga mereka berjaya mendapat tempat keempat kategori CCIC dan mendapat pembentangan terbaik secara keseluruhan.

Menurut Pengarah KKMG, Shirley Phillip, pertandingan ini diyakini dapat menjadi penggerak terhadap usaha membudayakan inovasi khususnya dalam kalangan pelajar.

“Ia juga bertujuan membudayakan inovasi dalam kalangan generasi muda ini,” katanya.

Pertandingan ini diadakan bertujuan melihat kemahiran dan penguasaan pelajar program STM dan Program Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian (SKK) dalam bidang perkomputeran di Kolej Komuniti di seluruh negara.

TAHNIAH… Para pelajar merakam kenangan bersama hadiah kemenangan mereka.

Suara Sarawak