17 kompaun dikeluarkan kenderaan lepaskan asap hitam lebih had

SERIAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak mengeluarkan 17 kompaun bernilai RM34,000 terhadap kenderaan menggunakan enjin diesel yang melepaskan asap hitam melebih had dibenarkan, dari Januari sehingga kini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Sarawak Mohamad Zaihan Lek berkata, kompaun bernilai RM2,000 bagi setiap kesalahan dikeluarkan menerusi Operasi Pemeriksaan Bersepadu Kenderaan Bermotor (Op Gerak) yang diadakan di seluruh Sarawak.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, JAS Sarawak telah menguji sebanyak 77 kenderaan menggunakan enjin diesel.

“JAS turut mengeluarkan 19 notis arahan dikeluarkan kepada pemandu atau pemilik kenderaan tersebut sementara tiada kenderaan dikenakan perintah larangan oleh JAS Sarawak sepanjang pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Op Gerak di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jalan Kuching-Serian, di sini hari ini.

Selain itu, Zaihan berkata, JAS Sarawak akan membuat tindakan susulan terhadap kenderaan yang dikesan mengeluarkan asap hitam melebihi had yang dibenarkan.

Tambahnya, JAS Sarawak turut memberi tempoh masa kepada pemandu mahupun pemilik kenderaan untuk menyelenggarakan kenderaan mereka.

“Sekiranya mereka melepasi had masa kompaun yang ditetapkan iaitu satu bulan ke tiga bulan, kita akan buka kertas siasatan untuk pendakwaan di mahkamah.

“Setakat ini, kesemua kompaun yang dikeluarkan terhadap pemandu mahupun pemilik kenderaan telah dijelaskan,” katanya.

 

PERIKSA…Anggota JPJ Sarawak memeriksa kenderaan pada Op Gerak.

Suara Sarawak