Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis pecah tanah Kompleks Hikmah dan Sekolah Tahfiz Hikmah, di sini, semalam. Turut kelihatan Yang Dipertua Hikmah Sarawak Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain.

KUCHING: Kompleks dan Sekolah Tahfiz Hikmah bakal dibina di atas tanah seluas 10 ekar berhampiran Jalan Pustaka, Petra Jaya.Kos pembinaan masing-masing berjumlah RM35 juta untuk kompleks dan RM17 juta bagi pembinaan sekolah. Kedua-dua projek tersebut dijangka siap dalam tempoh 24 bulan.

Yang Dipertua Hikmah Sarawak Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain berkata, terdapat tiga komponen dalam pembinaan kompleks yang dibangunkan kelak.

“Ia termasuk ibu pejabat pentadbiran Hikmah, dewan yang boleh memuatkan 1,500 orang dalam satu-satu masa serta kafeteria yang dibuka kepada orang awam.

“Saiz dewan yang besar ini akan memudahkan mana-mana pihak seperti kerajaan, swasta ataupun badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan aturcara rasmi, seperti seminar serta majlis perkahwinan.

“Ia sekali gus membantu menjana pendapatan Hikmah sebagai sebuah NGO,” katanya ketika berucap dalam majlis pecah tanah Kompleks Hikmah dan Sekolah Tahfiz Hikmah, di sini, semalam.

Tambahnya, bangunan yang dibina juga akan dilengkapi dengan fasiliti terkini, sekali gus menjadi mercu tanda baharu di Kuching pada masa akan datang.

Menurutnya, bangunan Sekolah Tahfiz Hikmah mempunyai 18 kelas yang boleh menempatkan 500 pelajar.

“Anak-anak yang berminat untuk mendalami ilmu tahfiz selain mempelajari pendidikan arus perdana boleh terus mendaftar memasuki sekolah tahfiz.

“Apabila sekolah tersebut mula beroperasi, diharap lebih ramai ibu bapa menghantar anak-anak mereka mendalami ilmu al-Quran, seterusnya melanjutkan pengajian di kolej atau universiti yang ditawarkan Hikmah,” tambahnya.

Suara Sarawak