KUCHING: Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bersama kerajaan merancang serta melaksana program, inisiatif dan strategi yang perlu bagi memanfaatkan bajet yang diperuntukkan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia penting demi meningkatkan ekosistem perdagangan dalam negeri terus berdaya saing dan maju.

“Salah satu fokus utama adalah untuk memastikan rakyat dapat mengharungi hidup dengan bekalan barangan yang stabil, harga yang munasabah serta boleh dijangkau oleh majoriti rakyat Malaysia terutama golongan B40.

“KPDNHEP bersyukur atas keprihatinan kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM55 bilion khusus dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif yang bertujuan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup melalui kawalan harga barangan dan perkhidmatan,” katanya mengulas mengenai Bajet 2023, hari ini.

Tambahnya, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dalam mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat disebabkan inflasi kini diteruskan melalui peruntukan RM100 juta di 600 DUN dan 13 parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

“Satu lagi inisiatif diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM200 juta iaitu Program Penyeragaman Harga khususnya bagi menampung kos pengangkutan dan kos pengedaran barang keperluan asas.

“Manfaat program ini akan diperluaskan ke 23 kawasan baharu termasuk di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Beliau juga menghargai usaha kerajaan meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk KPDNHEP memperhebatkan Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Selain itu, bagi menangani ketirisan subsidi barangan keperluan. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan petrol dan diesel bersubsidi dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia dan bukannya warga serta kenderaan asing dan tidak diseludup ke luar negara atau disalahguna.

“Langkah yang sama akan diambil bagi memastikan minyak masak dan LPG bersubsidi sampai ke isi rumah miskin dan kuotanya tidak disalahguna oleh peniaga,” katanya.

Tambahnya, pihaknya juga terus memperkasa advokasi kepenggunaan khususnya berhubung hak-hak pengguna dengan menyediakan bantuan khas pembiayaan pelantikan peguam swasta bagi membantu pengguna dalam pengendalian kes permohonan semakan kehakiman di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.

“Bagi membasmi penipuan dalam talian atau online scam. Salah satu langkah adalah dengan penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan(NSRC) yang melibatkan usahasama PDRM, BNM, MCMC serta NFCC dan akan bekerjasama dengan institusi kewangan.

“Pusat ini akan mula beroperasi bulan ini dan akan menjadi pusat sehenti dengan kepakaran dan sistem forensik siber dalam menerima aduan, memproses dan menjejaki serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap scammers,” tambahnya.

Tegasnya, KPDNHEP akan terus mengambil langkah proaktif bagi memastikan sektor peruncitan dan perdagangan domestik negara terus berkembang maju dan pada masa yang sama memastikan kebajikan dan kepentingan pengguna terus dilindungi.

Suara Sarawak