Kuching City sasar suku akhir Piala Malaysia

KUCHING: Jika kebanyakan pasukan yang bersaing dalam kancah Piala Malaysia 2022 sudah memasang impian, tidak terkecuali pasukan Kuching City FC (KC FC) cuba menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik atau suku akhir.

Ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berkata mungkin sasaran tersebut tampak mencabar untuk direalisasikan, namun beliau tidak melihat sebarang kekangan yang boleh menghambat keinginan itu.

Malah, beliau menganggap peluang buat semua pasukan termasuk The City Boys adalah seimbang.

“Sasaran kami untuk cuba melayakkan diri ke peringkat suku akhir. Saya percaya peluang ke arah itu tetap terbuka, cuma apa yang penting menuntut komitmen semua pemain,” ujar Irfan kepada Arena Suara Sarawak.

Apa yang penting katanya, pemain perlu fokus pada setiap perlawanan yang bakal diharungi kelak.

Jadual undian kempen Piala Malaysia 2022 yang dikeluarkan semalam, Kuching City FC akan menentang Pulau Pinang untuk aksi pertama di gelanggang lawan pada 26 Oktober ini. Disusuli perlawanan timbal balik pada 31 Oktober nanti.

Suara Sarawak