KUCHING: Penyertaan hampir 10,000 peserta dalam acara larian Kuching Marathon 2022 mampu meningkatkan industri pelancongan tempatan berikutan membabitkan ramai penyertaan dari luar Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, menerusi jumlah tersebut ia dengan sendirinya mempromosikan industri pelancongan di Sarawak kepada negara luar.

RAKAM KENANGAN… Abdul Karim (tiga kiri) bersama isterinya, Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar (dua kiri) dan ahli kenamaan lain merakam kenangan bersama pemenang-pemenang Acara Marathon Penuh 42 km Terbuka.

“Ini kerana daripada jumlah itu, satu per tiga daripada peserta yang datang adalah dari luar Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Padang Merdeka di sini hari ini.

Beliau telah mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Kuching Marathon 2022 di sini.

TAHNIAH… Abdul Karim (empat kiri dari belakang) merakam kenangan bersama pemenang Kuching Marathon 2022 di sini.

Sementara itu katanya, Sarawak menyasarkan penganjuran kali kelapan Kuching Marathon 2023 akan menerima lebih ramai penyertaan berbanding tahun ini.

Katanya, beliau percaya jumlah itu akan meningkat dan Sarawak berhasrat mengadakan acara itu sekali lagi pada 2023.

“Ini kerana acara ini adalah salah satu acara perlumbaan diiktiraf oleh Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).

“Sehubungan itu, kita berasa bangga kerana Sarawak dapat mengadakannya dengan baik setiap tahun kecuali dua tahun lepas disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Suara Sarawak