SRI AMAN: Pasukan Kuching tidak berdepan masalah muncul sebagai juara dalam acara berpasukan Kejohanan Sepak Takraw Piala Sarawak 2022.

Ia selepas kejayaan menumpaskan Bintulu dengan mata 2-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman.

Dengan kejayaan tersebut, ia sekali gus, memuktamadkan status gelaran ‘Raja Libas Sarawak’ milik barisan kendalian Ketua Jurulatih, Bujang Hossen.

RAKAM KENANGAN…Dayang Noorazah Awang Sohor Presiden PSS, Datuk Ismail Abang Saufi (tengah) sempat merakam gambar kenangan bersama pemain Kuching. – FOTO FAIZAL BUJANG

Kuching yang mempetaruhkan Ismail Roslan (tekong), Fadrul Hisyzam (apit kanan) dan Mohd. Faizul Azhar (apit kiri) untuk Regu A mudah memperoleh mata pertama menerusi kemenangan (21-10, 21-12).

Sebelum berjaya memperoleh mata kedua menerusi gandingan Wan Khairul Asyraf (tekong), Mohd. Naseer Johnny (apit kiri) dan Raffi Zamry (apit kanan) dengan kemenangan (21-14, 21-17).

“Cukup gembira dengan kejayaan diraih pemain. Syabas dan tahniah kepada semua mereka,” ujar pengurus pasukan, Bolhasan Putit.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.

Hadir sama Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.

Suara Sarawak