KUALA LUMPUR: Setelah dua tahun ditunda akibat pandemik Covid-19, program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2022’ kembali dianjurkan esok hari, 15 October.

Program yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara barisan kepimpinan Kerajaan Sarawak dan rakyatnya yang menetap di Semenanjung, khususnya golongan pelajar itu memasuki edisi ke-14 pada tahun ini.

Berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, acara turut bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Datuk Seri Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjurnya Datuk Seri Fadillah Yusof, pada tahun ini pihaknya menyasarkan kehadiran sekitar 6,200 anak-anak Sarawak terutamanya golongan pelajar.

“Tahun ini mengehadkan jumlah kehadiran kerana negara masih dalam fasa endemik Covid-19 dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP), jika berbanding tahun-tahun lalu direkodkan sekitar 10,000 yang datang” katanya.

Penyandang Kerusi Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian ketika ditemui media selepas melawat persiapan akhir program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2022’ di MITEC, di sini, hari ini.

Antara persiapan sempena program ‘Lan Berambeh Anak Sarawak 2022′ di MITEC, Kuala Lumpur

Mengulas lanjut, katanya salah satu fokus utama program tersebut adalah pameran yang disertai sebanyak 28 agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan universiti yang terdapat di Sarawak.

“Salah satu fokus utama pameran oleh semua agensi berkaitan adalah mengenai program pembangunan Sarawak terutamanya Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.

“Ini untuk mendedahkan kepada rakyat kita terutamanya pelajar-pelajar yang berada di Semenanjung mengenai pelan dan rancangan pembangunan Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Tambahnya, pada sebelah petang berlangsung Dialog Awam bersama Premier Sarawak, ini sekali gus menyediakan peluang untuk anak-anak kita berinteraksi secara terus dengan pemimpin tertinggi negeri.

Dianjurkan oleh Persatuan Sukarelawan Sarawak (Sarawak Volunteers) dengan sokongan Kerajaan Sarawak serta Pejabat Perhubungan Sarawak, Kuala Lumpur, program sehari itu bermula seawal jam 8 pagi.

Diakhiri dengan acara kemuncak iaitu Majlis Makan Malam Anak Sarawak bermula jam 7 malam dengan kehadiran Tun Taib, Abang Johari serta wakil-wakil rakyat yang lain.

Suara Sarawak