MENANG…Barisan pemain X-SPT FC.

KUCHING: Permulaan baik buat pendatang baharu, X-SPT FC dalam kempen Liga Bola Sepak Veteran Samarahan 2022.

Skuad kendalian Musa@Tuwet Hamid itu berjaya memperoleh tiga mata penting selepas mencatat kemenangan tipis (1-0) ke atas Vettam FC pada aksi pembukaan tirai di Padang Bola Sepak Kampung Sambir, Asajaya pada Ahad lalu.

Gol tunggal X-SPT FC dijaringkan Iwan Kurniawan Ahmadi pada minit ke-50 menerusi tandukan mengelirukan, hasil hantaran lintang bintang berpengalaman, Hapiz Ibrahim.

“Kita berjaya meraih kemenangan pertama dan paling penting tiga mata berharga dapat diperoleh,” ujar Musa kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Musa, cukup berkesan formasi (4-4-2) yang diguna pakai mereka pada perlawanan tersebut.

“Pemain berjaya menterjemah dengan begitu baik sekali formasi yang diguna pakai pada perlawanan tersebut.

“Diharap mereka dapat mengekal momentum cemerlang itu pada aksi kedua nanti,” tambah Musa sambil mengakui X-SPT FC akan menentang Sambir Bistari FC pada 16 Oktober nanti.

Suara Sarawak