Home EKONOMI Lantik Menteri Borneo dalam Kerajaan Persekutuan, pastikan Sarawak, Sabah membangun

Lantik Menteri Borneo dalam Kerajaan Persekutuan, pastikan Sarawak, Sabah membangun

KUCHING: Ahli Parlimen Sarawak perlu dilantik menggalas jawatan penting dalam Kementerian Kerajaan Persekutuan bagi mempercepatkan pembangunan di kedua-dua negeri Borneo.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia penting kerana Sarawak dan Sabah lebih memahami kawasan yang perlu dibangunkan.

Pada masa sama, memastikan kedua-dua buah negeri tersebut tidak ketinggalan dari segi pembangunan.

BERCAKAP…Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

“Saya tidak menyatakan menteri dari semenanjung tidak bagus, sebaliknya apabila seseorang yang dilantik (adalah dari semenanjung), mereka jarang datang kepada kita.

“Usaha itu akan lebih baik apabila wakil rakyat yang diberi tanggungjawab dapat turun padang secara lebih berkala, berbanding sekiranya Ahli Parlimen yang dipilih merupakan wakil dari semenanjung.

“Bagaimana mereka tahu apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak sekiranya jarang datang ke sini,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuching Borneo (BCCK) di sini, hari ini.

Malah Karim menambah, tidak menjadi masalah juga untuk melantik Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam kalangan ahli politik Sarawak.

“Jika ia menggembirakan semua orang, mengapa tidak? Tetapi kita akan meneliti perkara ini selepas pilihan raya nanti,” ujarnya.

Suara Sarawak