Larangan Ahli Parlimen tukar parti dibahas dalam Parlimen hari ini

KUCHING: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti Menghendap merupakan antara RUU yang dibaca kali kedua dan dibahas hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan komited memastikan segala undang-undang yang dirangka dan diumumkan dibawa dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022.

“Selain itu, RUU lain yang terlibat adalah RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Penculikan (Pindaan) 2022, RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 dan RUU Senjata (Pindaan) 2022.

“Termasuk RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022, yang mana berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori juga akan dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang parlimen kali ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, masih terdapat beberapa undang-undang yang dijangka dibentangkan tetapi belum mendapat kelulusan jemaah menteri sebelum RUU tersebut boleh dibentang dan dibahas.

Antaranya adalah RUU Sumbangan Politik 2022, RUU Perkhidmatan Parlimen 2022, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dan Akta Insolvensi 1967, katanya.

“Terdapat beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dijangka akan dibawa pada sidang ini yang masih memerlukan kelulusan jemaah menteri seperti peruntukan berkaitan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar Parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelancongan Dalam Senarai Persekutuan.

“Saya yakin dengan semua pindaan yang dicadangkan di atas, kerajaan telah mencapai matlamat terhadap transformasi kerajaan dan transformasi parlimen dengan jayanya,” ujarnya.

Untuk rekod, sebanyak sembilan RUU yang sedia untuk bacaan kedua, 13 RUU diluluskan jemaah menteri dijangka akan dibuat bacaan pertama dan 10 RUU serta Pindaan Perlembagaan termasuk daripada kementerian-kementerian lain.

 

Suara Sarawak