Datuk Larry Sng

KUCHING: Datuk Larry Sng mengesahkan akan bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Dalam kenyataannya hari ini, penyandang kerusi Parlimen Julau itu bagaimanapun belum mendedahkan sama ada akan mempertahankan kerusi sebelum ini atau bertanding di kawasan lain.

“Saya akan bertanding atas tiket PBM.

“Sebagai Presiden PBM, saya tidak pernah meletak jawatan dan tidak melepaskan keahlian dalam parti,” katanya.

Mengenai status calon PBM, jelasnya akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Segala pengumuman yang dibuat oleh pemimpin parti sebelum ini hanyalah spekulasi semata-mata.

“Sebaliknya, pengumuman rasmi akan dibuat oleh saya sendiri dan menandatangani watikah untuk PBM untuk PRU-15,” ujarnya.

Pada PRU-14, Larry berjaya membuat kejutan menewaskan Datuk Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) setelah empat penggal berturut-turut menyandang kerusi tersebut dengan majoriti 1,931 undi sebagai calon bebas.

Suara Sarawak