KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Julau Datuk Larry Sng menegaskan untuk terus mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, beliau akan terus mempertahankan kerusi yang disandangnya untuk meneruskan khidmat dan usaha membantu rakyatnya di kawasan tersebut.

“Aku tetap berdiri (bertanding pada PRU-15) kali ini. Mempertahankan penduduk dan menyambung tugasan membantu rakyatku di Julau.

“Aku sekarang sudah menjadi penduduk serta pengundi Julau,” katanya dalam catatan dalam bahasa Iban di Facebooknya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau belum memberitahu keputusannya sama ada akan bertanding di bawah Parti Bangsa Malaysia (PBM), sebagai calon bebas atau menyertai parti baharu.

Ternyata kenyataan Larry itu menimbulkan pelbagai persoalan berikutan Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin pada Ogos lalu mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calonnya di Sarawak pada PRU-15.

Ia susulan PBM sudah menghantar permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) untuk membentuk gabungan, sementara BN telah menegaskan pendirian tidak bertanding di Sarawak.

Larry, 43, pada PRU-14 bertanding sebagai calon bebas di Julau dan membuat kejutan apabila mengetepikan penyandang empat penggal Datuk Joseph Salang Gandum dari Parti Rakyat Sarawak (PRS).

PBM dilaporkan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan Larry, termasuk cadangan mewujudkan tiga jawatan timbalan presiden.

Suara Sarawak