Tun Taib menandatangani buku tetamu di Masjid At-Taqwa, Miri.

MIRI: Kira-kira 1,500 jemaah menghadiri majlis kesyukuran sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Masjid At-Taqwa, Miri, malam tadi.

Majlis yang diserikan dengan kehadiran Tun Taib sendiri itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, disusuli bacaan surah Yassin diketuai oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Seterusnya alunan zikir marhaban bersama Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Miri.

Setelah solat Isya’, tetamu kenamaan serta jemputan yang hadir membaca doa kesyukuran yang turut dipimpin oleh Mustapha.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan malam bersama para jemaah dan juga tetamu lain yang hadir.

Majlis kesyukuran tersebut merupakan salah satu daripada acara tonggak sambutan tahun ini, selain daripada Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa, Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak, Majlis Jamuan Negeri serta Jamuan Teh yang akan berlangsung pada 8 dan 9 Oktober ini.

Turut hadir ialah Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Jumaani Tun Tuanku Bujang.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Sri Fatimah Abdullah; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan, Datuk Sri Lee Kim Shin juga hadir.

Ketibaan Tun Taib di Masjid At-Taqwa, Miri sempena Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Lahir TYT Ke-86.

 

Abang Johari hadir ke Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Lahir TYT Ke-86 di Masjid At-Taqwa, Miri, malam tadi.
Tun Taib (tengah) bersama-sama tetamu kenamaan yang lain semasa Majlis Kesyukuran Sambutan Perayaan Hari Lahir TYT Ke-86 di Masjid At-Taqwa, Miri.

Suara Sarawak