Datuk Gerald Rentap Jabu (duduk, tengah) bersama-sama yang lain selepas sidang media. – FOTO ALIF NONI

KUCHING: Sarawak akan menjadi medan pertembungan pemain handalan dunia pada Pertandingan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa, Sarawak 2022.

Pertandingan anjuran Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu akan berlangsung di Megalanes Kuching bermula 22 hingga 26 November depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan, maklum balas awal diterima setakat ini menyaksikan lebih 450 penyertaan telah diterima.

“Kita menjangkakan ia akan bertambah memandangkan masih ada masa lagi. Malah pihak penganjur menyasarkan sekitar 600 penyertaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pertandingan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa, Sarawak 2022 di sini, hari ini.

Menurut Gerald, penyertaan yang diterima setakat ini merangkumi 22 buah negara seperti Australia, Bahrin, Brunei Darussalam, China, Taiwan, Guam, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Kuwait, New Zealand, Oman, Filipina, Poland, Singapura, Korea Selatan, Thailand, UAE, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Pertandingan kali ini yang menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM100,000 dengan empat kategori dipertandingkan termasuk kategori terbuka, kelayakan, senior dan remaja.

Hadir sama, Presiden ABAS, Sunny Si Poh Heng dan Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan SSC Ahmad Rodzli Hashim.

Suara Sarawak