KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara kerana menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang juruwang wanita.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Mohamad Hafiz Samani, 32, dari Kampung Sri Arjuna selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 20 tahun dengan menunjukkan kemaluan tertuduh kepada mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di kaunter pembayaran di sebuah kedai runcit, Batu 10, Jalan Penrissen, sekitar jam 2.30 petang, 21 September lalu.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa yang sedang bekerja telah didatangi seorang pelanggan lelaki (tertuduh) yang tidak dikenali untuk membeli barang.

Tertuduh kemudian memanggil mangsa untuk bertanyakan tentang harga barang, namun mangsa ternampak tertuduh mengeluarkan kemaluannya.

Mangsa seterusnya memaklumkan kepada pemilik kedai tentang perbuatan tertuduh.

Selain itu, ketika membuat pembayaran, tertuduh juga meletakkan kemaluannya di atas meja kaunter pembayaran dan membayar barang yang dibeli.

Hasil siasatan, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah merakam perbuatan tertuduh yang menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad namakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak