MIRI: Seorang lelaki warganegara tempatan dicekup kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan tempat letak kereta di sini, petang semalam.

Penahanan ke atas lelaki berusia 28 itu dibuat sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Nakotik IPD Miri kira kira jam 1.30 petang.

Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menjumpai dan merampas satu plastik berwarna hitam yang di dalamnya terdapat satu peket plastik lutsinar disyaki dadah seberat 51 gram dianggarkan bernilai RM5,100.

Bahan bukti yang dirampas daripada suspek.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, polis menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkannya ke balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.

Suara Sarawak