SARIKEI: Seorang lelaki maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua buah motosikal di Jalan Meranti di sini, semalam.

Insiden kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, menyebabkan Hii Bee Hung, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, kejadian turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal berasingan mengalami kecederaan di kepala, dada, patah kaki kanan dan tangan.

Pasukan keselamatan membantu mengangkat mangsa kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Meranti Sarikei.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Jalan Meranti menghala ke Sarikei, namun motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah yang bertentangan.

“Mangsa terpelanting ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Suara Sarawak