BINTULU: Seorang lelaki yang tidak sedarkan diri selepas kediaman keluarganya di Taman Kemena Raya Fasa 2 di Jalan Tun Hussein Onn terbakar malam tadi, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Bintulu.

Mangsa dikenali sebagai Moh Chee Mong, 54, difahamkan tinggal bersama ayahnya, Moh Yew Nang, 82, semasa kejadian berlaku.

Pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Bintulu memberikan bantuan pernafasan kepada Chee Mong.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dengan bantuan dari BBP Kidurong digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan diterima pada jam 8.25 malam.

“Ketika kebakaran berlaku dua mangsa terperangkap di dalam bilik berkenaan, namun berjaya diselamatkan orang awam sebelum bomba tiba.

Kebakaran meranapkan sebuah bilik di tingkat bawah, rumah dua tingkat.

“Seorang daripada mangsa tidak sedarkan diri dan diberikan CPR oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan Bintulu. Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Bintulu untuk pemerhatian lanjut,” katanya.

Ujarnya, kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat bawah sebuah rumah dua tingkat dan 20 peratus rosak.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan,” tambahnya.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Meng yang segera turun padang meninjau keadaan sejurus dimaklumkan.

Suara Sarawak