KOTA SAMARAHAN: Pasukan Kampung Niup 2 mempamerkan aksi cemerlang dengan menundukkan Pasukan Kampung Empila (1-0) dalam aksi Final Pertandingan Futsal JKKK Piala Komuniti Daerah Samarahan 2022, semalam.

Aksi penentu juara menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing dibarisi kudrat pemain belia tempatan dengan permainan bercorak laju.

Pasukan tuan rumah bagaimanapun memecah kebuntuan dengan menghasilkan jaringan tunggal, sekali gus menjadikan kejuaraan milik mereka.

JUARA… Penyandang Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang (tujuh kanan) bersama-sama para pemenang dan penganjur, sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang

Sementara itu, tempat ketiga dirangkuli pasukan Kampung Empila Hulu, diikuti Kampung Niup 1 di tangga keempat kejohanan.

Pertandingan anjuran bersama-sama Pejabat Daerah Samarahan, Pusat Khidmat P197 Kota Samarahan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan lain-lain disertai lebih 10 pasukan dari bahagian Samarahan.

“Objektif utama kejohanan adalah untuk memastikan para belia di kampung ini dapat bergiat aktif dalam aktiviti sihat khususnya bersukan.

“Sudah tentu kita sebagai JKKK Kampung Niup berharap agar sukan seperti ini menjadi medium kepada peminat sukan futsal untuk mengembangkan bakat mereka,” kata Ketua Kampung Niup Ahmad Mail kepada Arena Suara Sarawak.

Sementara, majlis penyampaian hadiah menyaksikan Penyandang Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Suara Sarawak