KUCHING: Polis menyelamat lima wanita warga asing dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk ekploitasi seks, menerusi serbuan pada Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, Cawangan D7 Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak telah menjalankan serbuan kira-kira jam 3.30 petang pada tingkat tiga sebuah premis kedai kawasan komersial di Jalan Setia Raja, di sini.

Katanya, kesemua mangsa yang diselamatkan berumur lingkungan 24 hingga 29 tahun.

“Semasa di lokasi, pihak polis mendapati premis didiami mangsa-mangsa telah dikunci berkunci dari luar dan pergerakan mangsa telah dikawal oleh kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang sekitar premis.

“Polis telah mengambil beberapa inisiatif untuk menyerbu masuk ke dalam premis tersebut dalam usaha menyelamatkan mangsa-mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil risikan lanjut, Mohd Azman berkata, dua lelaki tempatan berumur 23 dan 25 tahun ditangkap di tempat berasingan dipercayai boleh membantu siasatan.

Tambahnya, pihak polis turut merampas dua unit pasport warga negara asing beridentitikan mangsa yang diselamatkan.

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua mangsa telah memasuki Sarawak, Malaysia dan dipaksa untuk melayan pelanggan berhibur di premis hiburan dan hotel termasuk melakukan aktiviti seks dengan bayaran tertentu.

“Mangsa-mangsa mengaku berada di Sarawak antara tiga minggu hingga lima bulan.

“Kesemua mangsa akan dihantar ke Pusat Pelindungan Wanita di Kota Kinabalu, Sabah untuk prosedur siasatan lanjut,” jelasnya.

Mohd Azman berkata, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda.

Tambahnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 12(1)(F) Akta Pasport 1996 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun.

Beliau dalam pada itu menyeru masyarakat berganding bahu dengan pihak berkuasa untuk menyalurkan sebarang perkara yang mencurigakan dalam usaha menangani jenayah ini.

Katanya, masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran untuk mengambil langkah awal mengelak daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Suara Sarawak