KUCHING: Hak dan kepentingan Sarawak perlu dilindungi oleh rakyatnya dan tidak seharusnya diamanahkan kepada parti dari Semenanjung Malaysia.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Kuching Eric Tay Tze Kok berkata, agenda Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jelas bagi menyatukan kerusi parlimen di negeri ini, sekali gus menuntut semula hak Sarawak termasuk meminda perlembagaan.

Katanya, sejak penubuhannya, GPS telah mengangkat prinsip utamakan Sarawak, berdiri bersama-sama rakyat dalam mempertahankan hak dan kepentingan serta mewujudkan masa hadapan yang baik untuk negeri ini.

Ketua Pemuda SUPP Kuching Eric Tay Tze Kok

“Parti politik Semenanjung Malaysia yang memenangi banyak kerusi di negeri ini pada PRU lepas memilih untuk menekan dan mengeksploitasi Sarawak dari segi pemotongan peruntukan pembangunan dan membatalkan pelan pembangunan negeri ini.

“Ini menyukarkan kerja menaik taraf sekolah usang di Sarawak. Lebih-lebih lagi, mereka juga memberikan pelbagai alasan dan kuasa Persekutuan untuk terus menekan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, hanya GPS dapat menerajui dan memacu dasar yang memberi keuntungan kepada negeri ini.

Tambahnya, hasrat dan keikhlasan GPS adalah jelas bagi bekerjsama dengan rakyatnya untuk menangkis penghakisan kuasa dari luar terutamanya dari parti politik Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu beliau berkata, GPS harus diberi peluang pada PRU-15 untuk memenangi semula autonomi negeri ini.

Suara Sarawak