KUCHING: Padah mengamuk dengan memecah enam buah pasu bunga dan dua gelas kaca milik kakaknya kerana tidak diberi wang, seorang penggangur wanita dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau empat bulan penjara.

Tertuduh Azimah Zainal Abidin, 34, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat memecah barangan milik kakaknya yang berusia 37 tahun hingga menyebabkan kerugian RM26.80 di sebuah kafe di Jalan Sultan Tengah, Bandar Baru Samariang, sekitar jam 5 petang, 9 Oktober lepas.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa merupakan peniaga makanan telah didatangi adik perempuannya(tertuduh) di tempat dia berniaga iaitu sebuah kafe, meminta wang daripada ibu mereka dan anak tertuduh.

Berang tidak mendapat wang yang diminta, tertuduh bertindak mengambil enam buah pasu di luar kedai lalu melemparkan ke arah pintu kedai tersebut menghempaskan gelas kaca di atas meja.

Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kerugian sekitar RM26.80.

Bimbang akan keselamatan diri, pengadu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada selasa lalu (11 Oktober).

Difahamkan, semasa kejadian tertuduh di bawah pengaruh alkohol.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak