KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik syor agar tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) diwujudkan bagi mewakili Sarawak, Sabah dan Semenanjung namun berharap ia bukan ‘jawatan istiadat’ (ceremonial post).

“Apa yang kita perlukan adalah jawatan dengan kuasa, jika tidak ia sekadar menjadi jawatan TPM istiadat dengan semua protokol…bukan itu yang kami mahukan,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri jamuan tengah hari sempena sambutan Deepavali anjuran peguam, Shankar R.P. Asnani di The King’s Curry di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan ADUN Satok Datuk Ibrahim Baki.

Abang Johari ketika hadir jamuan tengah hari sempena sambutan Deepavali anjuran peguam, Shankar R.P. Asnani di The King’s Curry di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesyorkan agar tiga jawatan TPM, masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung diwujudkan jika BN menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ahmad Zahid berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS, pada PRU-15 ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata jika perkara itu menjadi kenyataan, GPS sudah bersedia dengan calon TPM sendiri.

“Calon ada, bila-bila boleh jadi TPM tetapi yang penting ada kuasa, kalau TPM tidak ada kuasa pun tidak ada erti.

“Kalau hanya protokol saja, rakyat Sarawak tidak mahu, mereka mahukan kuasa,” katanya.

Manakala ditanya adakah GPS akan memasukkan perkara itu dalam manifesto, beliau berkata tidak kerana GPS lebih kepada mengutamakan Sarawak.

Suara Sarawak