RASMI…Yap (kanan) merasmikan Sarawak Invitational Creative Arts & Film Tourism Award (SICAFA) 2022.

KUCHING: Industri pelancongan filem harus manfaatkan penggunaan ekonomi digital dalam mengetengahkan bakat mereka.

Adun Kota Sentosa Wilfred Yap berkata, penggunaan teknologi berasaskan digital ketika ini boleh menjanakan pendapatan bagi pemain industri tersebut.

Katanya, industri seni kreatif ini boleh menggunakan pelbagai medium seperti Tik Tok mahupun Youtube untuk tujuan komersial mahupun iklan.

“Terdapat pelbagai hasil pendapatan yang sedia ada dalam digital ekonomi dan Sarawak bergerak ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sarawak Invitational Creative Arts & Film Tourism Award (SICAFA) 2022 di Logan Roadhouse, Smoky George’s Smokehouse, Kuching City Mall, semalam.

Yap berkata, pelancongan filem bakal menjadi industri sub pelancongan penting bagi Sarawak.

Jelasnya, ia sekali gus mampu menarik pelaburan asing yang menyumbang kepada ekonomi negeri ini.

Justeru tambahnya, ia memerlukan kerjasama dua pihak dalam menjayakan mempromosikan sektor ekonomi tersebut.

“Oleh itu ia memerlukan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu berjalan seiringan dengan kerajaan untuk membangunkan sektor ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada orang ramai,” ujarnya.

Justeru beliau berharap SICAFA akan membuka jalan untuk rangka kerja ekonomi yang kreatif yang melibatkan setiap peranan dalam organisasi, persatuan dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Suara Sarawak