LAWAS: Seorang lelaki dilaporkan hilang dipercayai disambar buaya ketika memancing di Sungai Merapok, Blok C, Ladang Kelapa Sawit Kuala Lawas, di sini, ditemui hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas memulakan pencarian menggunakan bot seawal jam 7 pagi di sektor satu hingga lima dalam radius 1 km.

Katanya, mangsa, Juma Misi, 30, warga Indonesia ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 1.17 petang menggunakan dron dalam operasi pencarian.

Mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat kira-kira 3 km dari lokasi mangsa diserang.

“Jasad mangsa serangan buaya telah ditemukan dalam keadaan tidak sempurna 3 km dari lokasi mangsa diserang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, BBP Lawas menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas berhubung kejadian kira-kira jam 8.57 pagi semalam.

Menurut maklumat yang diperoleh, mangsa disambar buaya ketika melakukan aktiviti memancing.

Suara Sarawak