KUCHING: Manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan dilancarkan sendiri oleh Premier Sarawak selaku Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya merangkap Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, manifesto GPS akan meliputi semua aspek secara keseluruhan.

“Melihat kepada Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) pun sudah merangkumi semua perkara.

Fadillah ketika ditemu bual wartawan selepas selesai menghadiri Sambutan Hari Warga Emas di Sekolah Kebangsaan Rakyat

“Salah satu aspek yang kita lihat termasuk kesejahteraan sosial melibatkan setiap lapisan masyarakat, tanpa ada yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Warga Emas di Dewan Dato Hajjah Juma’ani, Sekolah Kebangsaan Rakyat, di sini, hari ini.

“Oleh itu, perlu ada strategi untuk memastikan kesejahteraan masyarakat, bukan hanya untuk warga emas, tetapi setiap lapisan masyarakat,” katanya ringkas.

Dalam pada itu, Pengerusi GPS sebelum ini mengesahkan bahawa partinya akan menerbitkan manifestonya sendiri untuk PRU-15.

Penyertaan kali pertama GPS bertanding pada pilihan raya umum ini akan bertumpu kepada perjuangan bertemakan ‘Utamakan Sarawak’.

Suara Sarawak