Masihkah Chong Chieng Jen jadi singa terluka?

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), puluhan ribu penyokong Parti Tindakan Demokratik (DAP) memenuhi kawasan Saradise, di kawasan BDC.

Ia adalah malam kemuncak kerana pada jam 12.00 malamnya, kempen pilihan raya akan berakhir.

Jalan ke Saradise dipenuhi lautan manusia, sehingga kereta saya dan beberapa rakan yang melakukan pemerhatian sukar untuk melaluinya.

Ia berbeza dengan situasi di Satok, dengan orang ramai tidak peduli pun akan kempen saat akhir Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Amat jelas ketika itu, bahawa Chong Chieng Jen akan menang. Beliau akan menewaskan lawannya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian di Parlimen Stampin, jika dilihat dari lautan manusia yang hadir dan bersorak.

Esoknya, Cheng Jen membawa pulang 33,060 undi, untuk tersenyum lebar, menewaskan Pengerusi SUPP, Kui Hian yang sekadar mengutip 18,839 undi.

Seramai 52,550 pengundi turun menunaikan tanggungjawab mereka di Parlimen tersebut, yang menyaksikan kadar turun mengundi mencapai 79.33 peratus.

Ia tidak menghairankan kerana dalam kempennya, Chieng Jen mengasak, memarah dan menghina BN, Najib dan Kui Hian sendiri, dengan memasak sentimen sehingga hangus.

Dalam kempennya, Chieng Jen bertegas, bahawa langkahnya turun ke Stampin dari Parlimen Bandar Kuching adalah untuk menamatkan karier politik Kui Hian dan keangkuhan BN.

Hakikat sebenarnya, beliau cuba menyembunyikan kelemahan DAP sendiri.

Pada tahun 2013, DAP menang kali pertama di kerusi tersebut menerusi Julian Tan Kok Ping.

Julian memperoleh 41,663 undi untuk muncul sebagai ‘pembunuh gergasi’ menewaskan bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng, yang sekadar membawa pulang 22,993 undi. Namun selepas itu, Julian bagai hilang arah.

Biarpun berperanan efisien sebagai pembangkang, beliau bagai tidak tahu bagaimana untuk menjadi seorang ahli Parlimen.

Beliau gagal turun padang dan hanya sibuk kepada perkara yang tidak perlu.

Kerana bimbang kawasan tersebut akan terlepas, apatah lagi, yang hadir bertanding ialah Kui Hian, maka Chieng Jen menamakan dirinya sendiri sebagai lawan heavyweight kepada Kui Hian.

Dan perjudian itu sebenarnya menjadi.

Untuk rekod, demografik kerusi ini menyaksikan pemilihnya ialah 65 peratus Cina; diikuti pemilih bukan Bumiputera 18 peratus, Islam 16 peratus dan lain-lain 1 peratus.

Ia terpecah kepada Dun Batu Kawah yang dikuasai oleh SUPP (Kui Hian) pada Pilihan Raya Negeri 2021; Dun Kota Sentosa yang juga diketuai oleh SUPP (Wilfred Yap) dan Dun Batu Lintang, Bebas (See Chee Hua).

Jika dianalisis akan trend dan situasi ini, kedudukan Chieng Jen sebenarnya dalam bahaya jika masih ingin mengekalkan kerusi yang disandangnya itu.

Ini kerana kesemua Dun di kawasan Parlimen itu tidak lagi memihak kepada pembangkang.

Malah Kota Sentosa yang pernah menjadi kubu kuat DAP juga sudah terlepas dari genggaman.

Berdasarkan risikan, kesemua ini berpunca daripada kegagalan Chieng Jen sendiri turun padang dan melakukan khidmat berkesan kepada pengundi kawasannya.

Rakyat kecewa kerana Chieng Jen yang memegang dua peranan — Ahli Parlimen dan Adun — ketika hanya nampak muka ketika hampir kepada pilihan raya.

Tiada program berkesan dianjurkan, kecuali melakukan komplen, komplen, dan komplen, sedangkan pada waktu 2018 hingga 2020, DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Benar tempoh 22 bulan merupakan satu seksaan bagi rakyat, yang hanya menelan janji, sedangkan tiada perancangan efektif dicadangkan kepada rakyat.

Lelah dan rasa tertipu, menyebabkan rakyat Kota Sentosa menolak DAP pada PRN Sarawak yang lalu, sekali gus menghantar isyarat bahawa parti roket itu tidak lagi diperlukan.

Kali ini, Parlimen ini memiliki 120,334 pemilih berdaftar, dan ini merupakan cabaran baharu bagi Chieng Jen.

Rakyat tidak lagi mudah dibelit dengan retorik seperti yang berlaku pada 2018.

Beliau perlu kepada strategi dan taktik lain jika ingin terus bertahan.

Tumpuan kini tentunya kepada siapa yang akan mencabar Chieng Jen.

Dengan kedudukan sebagai Timbalan Premier Sarawak, Kui Hian sudah hampir pasti tidak akan turun gelanggang.

Ramai penduduk di kawasan ini sebenarnya, berharapkan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan yang juga Adun Batu Kitang, Lo Khere Chiang diturunkan, tetapi pimpinan tertinggi SUPP sendiri rasanya sudah ada pilihan sendiri.

Khere Chiang, seorang jurutera yang mesra dan mudah didekati.

Sebagai seorang ahli politik, beliau tidak sombong dan sanggup berbaju Melayu dan berbusana Iban apabila melawat komuniti setempat.

Tutur katanya lembut, membayangkan beliau sebagai tokoh kompromi untuk semua kaum.

Tetapi di atas kertas, SUPP tampaknya mahu Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Tan Kai diangkat sebagai calon.

Tan Kai dikatakan dicalonkan oleh cawangan Batu Kawah yang diketuai Kui Hian sendiri.

Puncanya, kerana Tan Kai telah lama berjuang untuk parti dan pernah menjadi Ketua Pemuda SUPP.

Beliau menjadi calon Parlimen Bandar Kuching pada 2013, dan memperoleh 10,491 undi, kalah kepada Chieng Jen yang membawa pulang 30,133 undi.

Justeru jika Tan Kai dinamakan sebagai calon, maka kedua-duanya akan bertemu ‘buku lima’ sekali lagi.

Cuma gelanggangnya berbeza, dan kali ini, Chieng Jen tidak lagi menjadi singa buas dan terluka, sebaliknya perlu membabat lukanya, yang bernanah kerana kegagalan pemerintahan 22 bulan.

Suara Sarawak