ASAJAYA: Masyarakat di daerah ini harus memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada polis dalam membanteras ancaman dadah, kecurian harta benda dan berwaspada dengan pelbagai bentuk penipuan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata berkata, meskipun gejala penyalahgunaan dadah di Daerah Asajaya adalah terkawal namun masyarakat harus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mancha menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak Bersama Komuniti Daerah Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya.

Katanya, berdasarkan statistik PDRM Sarawak dari Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 40 kes dadah disiasat dengan pelbagai kesalahan dan melibatkan 46 tangkapan di Daerah Asajaya.

Sementara beliau berkata, dalam tempoh yang sama tahun ini, sebanyak 44 kes disiasat dan melibatkan 54 tangkapan.

Rais (kiri) menerima cenderahati daripada Mancha (dua kiri) sambil disaksikan oleh Senior Asisten Komisioner Lukas Aket (kanan).

“Kejayaan ini adalah hasil usaha keras dan berterusan PDRM Sarawak Amnya dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan khasnya yang sentiasa berusaha keras melancarkan operasi sepanjang masa bagi membendung masalah dadah di Daerah Asajaya.

“Kita akan lebih berjaya untuk membanteras masalah dadah di daerah ini sekiranya tuan-tuan dan puan-puan memainkan peranan sebagai mata dan telinga PDRM,” katanya.

Mancha bersama hadirin dan masyarakat Asajaya merakam gambar kenangan pada Program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak Bersama Komuniti Daerah Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kepolisan Komuniti Kontinjen Sarawak Bersama Komuniti Daerah Asajaya di Kompleks Sukan Asajaya, di sini hari ini.

Justeru, Mancha berkata, semua lapisan masyarakat tidak menyerahkan usaha itu sepenuhnya kepada pihak polis semata-mata.

Dalam pada itu, beliau turut meningatkan masyarakat agar bertanggungjawab akan harta benda diri dan harta benda orang lain.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Senior Asisten Komisioner Lukas Aket, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Deputi Superintendan Brodie Brangka, Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmat, pegawai-pegawai polis dan ketua masyarakat.

Suara Sarawak