Pengerusi MDS, Kaunselor Wong Zee Yeng bersama-sama kakitangan dan kontraktor meninjau tapak pembinaan pembahagi jalan Repok.

SARIKEI: Kerajaan komited menambah baik sistem aliran trafik di bandar ini sebagai langkah untuk menjamin keselamatan orang ramai, selain mengelak kesesakan khususnya pada waktu puncak.

Usaha yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) itu termasuk, pemasangan pembahagi jalan di Jalan Repok sepanjang 550 meter iaitu dari simpang Jalan Bersatu hingga simpang Jalan Hua Tai.

Pengerusi MDS Kaunselor Wong Zee Yeng berkata, bagi meningkatkan tahap keselamatan, MDS turut memasang lampu jalan sebagai langkah untuk memastikan orang ramai berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan.

“Langkah ini juga bertujuan melindungi keselamatan guru dan pelajar dari sekolah yang berhampiran. Pada masa sama, laluan di depan Gereja Saint Anthony akan dilebarkan untuk dijadikan tempat ibu bapa menunggu dan mengambil anak-anak mereka pulang sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, MDS juga mempelawa kontraktor yang bertanggungjawab ke lokasi bagi mencari kaedah bersesuaian untuk memastikan projek itu memberi impak positif kepada pengguna.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MDS Kaunselor Misiah Abu Seman, Kaunselor Abang Ibrahim, Kaunselor Barau, dan Kaunselor Iskandar.

Suara Sarawak