SIBU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan masing-masing kepada empat lelaki yang melakukan rompakan dan samun berkumpulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Marutin Pagan memerintahkan hukuman itu berjalan dari tarikh mereka ditangkap.

Hukuman itu dijatuhkan kepada Cassidy Mandau, 27, Nelson Klemin, 37, Joseph Rickey Jugah, 29, dan Richard Dalam, 40, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh dan seorang lagi suspek yang masih bebas menyamun seorang lelaki berusia 57 tahun dan mencederakannya dengan senjata tumpul pada 19 Oktober 2022, antara jam 7 malam di Jalan Khoo Peng Loong.

Lima lelaki itu mengambil beg milik mangsa yang mengandungi RM13,000, kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM dan telefon bimbit.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rex Heng Yi Min, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak