Mesej tular palsu, IPD Song nafi kes culik murid

SONG: Polis di sini menegaskan tiada kes culik murid sekolah seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Song DSP Rowney Michael Jalak berkata, pihaknya menerima maklumat daripada SJKC Hin Hua, di sini mengenai tangkap layar yang tersebar dalam kumpulan WhatsApp ibu bapa dan guru.

Dedahnya, tangkap layar itu menyatakan terdapat satu kes percubaan culik di SJK Hin Hua mengunakan sebuah kereta Hilux berwarna hitam.

“Bertindak daripada maklumat itu, sekitar jam 2 petang semalam, anggota telah berjumpa dengan guru besar serta pegawal keselamatan sekolah tersebut dan dimaklumkan tiada kejadian umpama berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujarnya, menurut guru besar sekolah terbabit, tangkap layar tersebut telah dihantar oleh salah seorang ahli keluarga dalam kumpulan WhatsApp sekolah pada malam 3 Oktober lalu.

“Susulan itu, guru terbabit meminta ahli keluarga terlibat untuk berjumpa dengannya namun tiada sebarang maklum balas diterima sehingga sekarang.

“Semakan laporan polis pada hari ini sehingga jam 10.30 pagi juga mendapati kita tidak menerima sebarang laporan berkaitan perkara ini.

“Maklumat ini telah disiasat dan diteliti, didapati tidak benar dan tiada asas atau fakta bagi menjalankan siasatan lanjut,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan tidak benar, perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam itu menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Song di talian 084-777222,” katanya lagi.

 

Suara Sarawak