MIRI: Susulan ramai kakitangan dan pegawai pihak berkuasa bertugas semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Larian Miri Marathon 2022 (MM22) ditangguhkan dan dijadualkan semula pada 19 Mac 2023.

Jurucakap penganjur berkata penangguhan itu terpaksa dibuat selepas mengadakan perundingan dan penelitian dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Dukacitanya kami ingin mengumumkan bahawa MM22 yang dijadualkan diadakan pada 6 November 2022 (Ahad) di Taman Bulatan Bandaraya Miri dibatalkan atas sebab keselamatan dan kepentingan peserta.

“Tujuan pembatalan adalah kerana majoriti kakitangan dan pegawai pihak berkuasa akan bertugas pada Hari Penamaan calon untuk PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Oleh hal yang demikian, pihak penganjur MM22 memutuskan semua peserta yang mendaftar untuk menyertai MM22 tahun ini secara automatik layak ke MM23 pada 19 Mac tahun depan tanpa sebarang pembayaran.

“Peserta MM22 dari dalam dan luar Miri yang sedang perjalanan ke Bandaraya Miri dialu-alukan untuk mengambil baju acara MM22 dan kit-kit lain dari 4 November hingga 5 November di Boulevard Shopping Mall. Kami mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Miri Marathon akan menganjurkan Larian Persahabatan 10 kilometer pada 6 November 2022 bertempat di Taman Bulatan bagi peserta yang telah mendaftar dengan MM22.

Segala butiran untuk acara berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat kepada peserta.

Suara Sarawak