KUCHING: Keputusan kekal tarikh temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) XX Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menjadi masalah buat kontinjen Sarawak.

Ketua Kontinjen (Chef De Mission) Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak Mohammad Razi Sitam berkata, misi memburu kejuaraan kali ke-14 tidak tergendala, malah menyaksikan kesemua atlet terlibat menjalani sesi latihan akhir menjelang temasya bermula 1 hingga 6 November kelak.

“Pada mulanya, kita menjangkakan Para Sukma 2022 ditangguh susulan pengumuman pembubaran Parlimen baru-baru ini, tetapi mengikut maklumat terbaharu ia akan diteruskan.

“Maknanya, misi mempertahankan kejuaraan bagi kontinjen Sarawak diteruskan, yang mana kita bertumpu kepada beberapa sesi latihan terakhir sebelum berangkat ke temasya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai persediaan Kontinjen Para Sukma Sarawak selepas merasmikan Sambutan Hari Tongkat Putih Antarabangsa Tahun 2022 peringkat Sarawak di Pusat Beli Belah Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Tegasnya, misi Sarawak memburu kejuaraan kekal dengan menyasarkan sebanyak 64 pingat emas pada temasya itu.

Pada perkembangan sama, Razi memberitahu jumlah Kontinjen Sarawak yang akan bertolak ke Para Sukma XX MSN 2022 adalah seramai 238 orang.

Katanya, daripada jumlah tersebut seramai 168 merupakan atlet, 84 pegawai dan 25 adalah pakar perubatan.

Suara Sarawak