MIRI: Dianggarkan 400 liter minyak diesel serta sebuah kereta dirampas Unit Risikan Marin (URM) Markas Polis Marin Wilayah Miri menerusi Ops Kontraban, Jumaat lalu.

Rampasan dengan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM11,070 itu dilakukan kira-kira jam 10.45 pagi (Jumaat), di tepi jalan Swee Khin, Jalan Krokop 4, Miri.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata seorang pemandu turut ditahan susulan membawa muatan sarat minyak diesel pada hari tersebut.

TAHAN, RAMPAS… kira-kira 400 liter diesel dipercayai diseludup seorang pemandu

“Suspek, memandu kereta jenis Iswara Aeroback ditahan apabila pihak URM Miri mencurigai kenderaan tersebut lalu mengarahkan pemandu berhenti di tepi jalan.

“Pemeriksaan lanjut serta pengakuan oleh pemandu mendedahkan bahawa dirinya membawa muatan minyak diesel sebanyak 14 tong jerrycan pelbagai saiz dan warna,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alexson menambah, pemandu tersebut juga gagal mengemukan sebarang bukti dokumen kebenaran memiliki atau menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit atau kebenaran khas dari pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kesemua barang rampasan dan tangkapan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Miri untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Suara Sarawak