PADA September 2019, Rang Undang-Undang Undi 18 menjadi pindaan perlembagaan pertama yang mendapat sokongan dwipartisan yang berkuat kuasa pada 15 Disember tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan berikutan pengenalan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik, bahawa sejumlah 5.8 juta pemilih baharu telah ditambah ke dalam daftar pemilih sebanyak 15.3 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pemilih berjumlah 21.1 juta.

Daripada pengundi baharu ini, 1.2 juta berumur antara 18 hingga 20 tahun manakala selebihnya berumur 21 tahun ke atas dan tidak berdaftar sebelum ini.

Secara keseluruhan, jumlah pemilih terkini adalah seramai 21,113,234 orang dengan 94 peratus adalah pengundi berumur 21 tahun ke atas.

Namun, pengundi muda baharu yang layak mengundi berusia 18 tahun dijangka bertambah mencecah 3.8 juta orang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini nanti.

Jumlah itu dipercayai meliputi pertambahan seramai 7.8 juta pengundi baharu pada PRU-15 yang pada 19 November depan.

Keadaan itu menunjukkan pengundi muda mewakili 34 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi tersebut.

Jika kita lihat pada pilihan raya negeri yang lepas sama ada sudah menggunakan undi daripada pengundi muda dan belum, keadaan adalah sukar dijangkakan.

Kita lihat kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu, walaupun buat pertama kalinya pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun dibenarkan mengundi, tetapi kadar peratusan keluar mengundi terutama bagi pemilih muda tidak seperti yang diharapkan.

Daripada 54.92 peratus keseluruhan yang keluar mengundi yang direkodkan SPR, peratusan pengundi muda dianggarkan hanya di bawah lima peratus.

Jumlah itu sangat kecil daripada jumlah keseluruhan 173,177 jumlah pengundi muda yang didaftarkan di negeri berkenaan walaupun pada peringkat awal diuar-uarkan bahawa ramai yang berkobar-kobar untuk keluar mengundi.

Yang pasti, usaha berterusan dilakukan bagi menarik lebih ramai pengundi muda.

Suara Sarawak