KUCHING: Tiada berlaku banjir dan keadaan terkawal di kawasan rondaan serta pemantauan dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

Setakat jam 4 petang hari ini, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, keadaan paras air di lokasi berkenaan masih terkawal.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terlibat memenjalankan rondaan membabitkan BBP Bintangor, Batu Niah, Petra Jaya dan Sri Aman.

Anggota bomba yang menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko banjir.

“Lokasi rondaan termasuk Tebingan Sungai Abang Amin di Bintangor, Sungai Telong Suai dan Kuala Suai di Miri, Kampung Sungai Bedil, Kampung Sinjan dan Kampung Tupong di Kuching serta Kampung Kejatau dan Jalan Beletik di Sri Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam amaran cuaca berkata, beberapa bahagian dan daerah di negeri ini dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 7 malam ini.

Katanya, ia membabitkan Bahagian Kuching, Serian, Samarahan, Bintulu. Bahagian Miri melibatkan Daerah Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi serta Bahagian Limbang.

Amaran cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dikeluarkan 3.45 petang hari ini.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.

Jelasnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Suara Sarawak