KUCHING: Pasukan Pasific West Dragon Club dinobatkan sebagai juara Regata Lumba Perahu Naga 2022 selepas menumpaskan pasukan Boneka Paddlers Team B dalam kategori utama premier kebangsaan terbuka 20′ (International Premier Open 20′), di sini, hari ini.

Perbezaan 0.09 saat antara pasukan Brunei (1 minit 10.07 saat) meletakan pasukan dari Malaysia menjadi juara buat kali pertama dalam acara regata di Sarawak.

Manakala, pasukan dari Indonesia (Kapuas Hulu) sekadar berpuas hati meraih tempat ketiga dengan catatan masa 1 minit 10.17 saat, selain dikenakan penalti satu saat kerana bermula sebelum wisel pelepasan.

Perahu naga: pasukan Pasific West Dragon Club merakam kenangan selepas dinobatkan juara bagi kategori utama Regata Lumba Perahu Naga 2022.

Pasukan dari Sarawak iaitu Landas berjaya meraih tempat keempat dengan catatan masa 1 minit 10.69 saat.

Jurulatih Pasific West Dragon Club Lawrence Koh berkata, ia merupakan penyertaan kali pertama pasukannya ke Regata Sarawak.

“Kita tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan ini, kerana dua minggu dari sekarang kita akan mewakili Malaysia ke Thailand untuk Kejohanan Lumba Perahu Naga peringkat Asia 2022.

“Kejohanan akan berlangsung pada 19 November depan. Doakan kejayaan kami di sana nanti sebagai pembawa nama Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui Suara Sarawak selepas aksi akhir kategori utama perahu lumba terbabit di Tebingan Kuching hari ini.

Suara Sarawak