KUCHING: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) meletakkan empat calon untuk dipertandingkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata presidennya, Bobby William.

Menurutnya, dirinya sendiri akan bertanding di kerusi Parlimen Sibuti, yang sebelumnya milik Lukanisman Awang Sauni dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) – sebelumnya Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 12,214 undi.

“Manakala, tiga calon lain iaitu Robert Saweng bertanding di Parlimen Kapit, Susan George (Julau) dan Sawing Kedit (Baram),” katanya ringkas ketika ditanya wartawan Suara Sarawak, hari ini.

Tambahnya, sama seperti parti politik lain, mereka juga sudah membuat perancangan rapi untuk berdepan dengan pilihan raya kali ini.

“Tahap keyakinan untuk bertanding adalah 100 peratus dan atas keyakinan yang kita ada, PBDS bertanding pada PRU-15 kali ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut berhubung pengundi belia yang pertama kali mengundi, beliau menasihatkan agar golongan ini memanfaatkan hak yang telah diberikan.

“Masa hadapan Malaysia terletak pada undi anda, justeru gunakan ia dengan baik” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan pandangan bahawa tempoh yang diberikan untuk berkempen (14 hari) agak singkat, namun akur dengan keputusan yang telah diputuskan.

Suara Sarawak